Ke arah menyekat risiko pengimportan dan membendung penularan wabak penyakit COVID19 di Negara Brunei Darussalam serta berpandukan kepada nasihat-nasihat Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ingin memaklumkan kepada orang ramai bahawa bermula pada hari Selasa, 29 Rejab 1441 bersamaan 24 Mac 2020, semua warganegara asing adalah tidak dibenarkan untuk memasuki Negara Brunei Darussalam sama ada melalui Pos-pos kawalan Darat, Laut dan Udara sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian. Larangan ini adalah juga termasuk bagi warganegara asing yang transit di negara ini.
Dalam hal ini juga, sukacita dihuraikan kategori-kategori permohonan dan kemudahan yang terlibat dengan pengumuman ini seperti berikut: - 1] Pemberian kemudahan Visa on Arrival yang dikeluarkan di Pos-pos kawalan adalah ditiadakan untuk sementara; 2] Permohonan untuk mendapatkan visa lawatan, visa penuntut dan juga visa tanggungan adalah ditangguhkan, termasuk permohonan yang telah diterima oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan sebelum ini; 3] Surat kebenaran visa lawatan, visa penuntut dan visa tanggungan yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan adalah ditangguhkan; 4] Surat kebenaran visa lawatan, visa penuntut dan visa tanggungan yang akan dan telah dikeluarkan oleh Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di luar negara adalah ditangguhkan; 5] Bagi warganegara asing yang telah dikeluarkan visa lawatan, visa penuntut dan visa tanggungan serta masih berada di negara asal untuk menangguhkan pelayaran mereka ke Negara Brunei Darussalam dan terus berada di negara mereka; dan 6] Bagi warganegara asing yang telah dikeluarkan re-entry visa dan masih berada di negara asal untuk menangguhkan pelayaran mereka ke Negara Brunei Darussalam dan terus berada di negara mereka. Dalam masa yang sama, pertimbangan khas hanya diberikan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan (JIPK), tertakluk kepada urusan-urusan yang berkepentingan kepada negara ini, dengan memohon kepada Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan dengan memuat turun borang yang dikhaskan di laman sesawang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan di alamat www.immigration.gov.bn dan dihadapkan kepada Jabatan berkenaan melalui e-mel di alamat [email protected]. Untuk mendapatkan keterangan lanjut, orang ramai bolehlah berhubung dengan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan melalui talian 2383106 atau melayari laman sesawang di alamat www.immigration.gov.bn. -TAMAT- Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei Darussalam 28 Rejab 1441H / 23 Mac 2020M
0 Comments
1. Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dalam usaha membantu tindakan-tindakan bersepadu pihak Kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dari semasa ke semasa meneliti manamana proses di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Jabatan-Jabatan di bawahnya ke arah membendung penularan wabak COVID-19 di Negara Brunei Darussalam.
2. Untuk itu, berdasarkan kepada nasihat-nasihat yang dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri ingin memaklumkan kepada orang ramai khasnya majikan-majikan mengenai perubahan-perubahan tertentu kepada proses mendatangkan pekerja asing ke negara ini seperti berikut: - 2.1 Bermula hari Sabtu, 21 Mac 2020, ke semua permohonan-permohonan untuk mendatangkan pekerja asing adalah ditangguhkan buat sementara waktu sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kemudian; 2.2 Butiran berkenaan dengan kategori-kategori permohonan dan proses-proses yang terlibat dengan penangguhan ini adalah seperti berikut: - 2.2.1 Permohonan untuk mendapatkan Lesen Pekerja Asing (LPA) bagi pekerja asing baru dan permohonan tambahan, termasuk permohonan yang telah dihadapkan ke Jabatan Buruh sebelum 21 Mac 2020; 2.2.2 Permohonan untuk mendatangkan Pekerja Domestik, termasuk permohonan yang telah dihadapkan ke Jabatan Buruh sebelum 21 Mac 2020; 2.2.3 Permohonan untuk mendapatkan visa kerja, termasuk permohonan yang telah dihadapkan ke Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan sebelum 21 Mac 2020; 2.2.4 Surat Kebenaran Visa Kerja yang telah dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan; 2.2.5 Visa kerja yang akan dan telah dikeluarkan oleh Kedutaan dan Suruhanjaya Tinggi Negara Brunei Darussalam di luar negara; 2.2.6 Bagi pekerja asing yang telah dikeluarkan visa kerja dan masih berada di negara asal untuk menangguhkan pelayaran mereka ke Negara Brunei Darussalam dan terus berada di negara mereka; dan 2.2.7 Bagi pekerja yang telah dikeluarkan Re-Entry Visa dan masih berada di negara asal untuk menangguhkan pelayaran mereka ke Negara Brunei Darussalam dan terus berada di negara mereka. 3. Walau bagaimanapun, permohonan bagi kategori membaharui Lesen Pekerja Asing (LPA) iaitu bagi pekerja-pekerja yang sudah berada di Negara Brunei Darussalam akan diterima dan diproses seperti lazimnya. Dalam masa yang sama, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri melalui Jabatan Buruh dan Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan akan menilai sebaik-baiknya, jika ada permohonanpermohonan tertentu yang akan menyumbang kepada kelangsungan atau continuity operasi-operasi kritikal sektor-sektor tertentu di negara ini. 4. Dalam pada itu, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri memohon orang ramai khasnya majikan-majikan dan agensi-agensi pekerjaan untuk memberikan kerjasama padu dan berterusan bagi melaksanakan langkah-langkah yang dinyatakan ke arah memelihara keselamatan dan kesejahteraan rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam. 5. Untuk sebarang keterangan lanjut, bolehlah menghubungi Jabatan Buruh melalui talian 2301848 (semasa waktu bekerja) atau 7298989 (di luar waktu bekerja) atau melayari laman sesawang Jabatan Imigresen dan Pendaftaran Kebangsaan www.immigration.gov.bn atau melalui talian 2383106. -TAMAT- Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri Negara Brunei Darussalam 25 Rejab 1441H / 20 Mac 2020M |
SABIKALA AGENCYSelamat Datang ke blog rasmi Sabikala Agensi. Archives
October 2020
Categories |